31 October 2011

Jom Heboh Kelantan 2011

Dicatat oleh Ibnu Halim

Pada 28 & 29 Oktober yang lepas, bersamaan dengan tarikh awal bulan haram dalam Islam (1 & 2 Zulhijjah), pihak Media Prima telah mengadakan Karnival Jom Heboh kali yang ke-2 di Bumi Serambi Mekah, Kelantan.

Saya juga telah berkesempatan mengunjungi karnival tersebut pada petang Jumaat yang juga bersamaan 1 Zulhijjah 1432H. Walaupun seharian hari Jumaat tersebut cuaca di Kota Bharu hujan dari pagi hingga ke petang, namun dikhabarkan orang tetap ramai mengunjungi karnival tersebut bermula pagi lagi tidak putus-putus hingga ke waktu malam. Saya merasai sendiri pengalaman memang ramai orang mengunjungi karnival tersebut hinggakan jalanraya mengalami kesesakan teruk di semua jalan utama menuju ke bandar Kota Bharu.

Kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan Konsert Jom Heboh diadakan pada tahun ini disebabkan masalah-masalah yang berlaku pada pengalaman lepas, namun pihak Hotlink dibenarkan untuk mengadakan Mini Konsert pada 2 hari karnival ini berlangsung. Artis yang terlibat ialah Tomok & Akim (Duta Hotlink) yang mana lagu-lagu nyanyian mereka kesemuanya telah ditapis & dipilih oleh pihak kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Kelantan juga memberikan syarat supaya pihak Hotlink mematuhi Enakmen Hiburan Kelantan iaitu mengasingkan tempat duduk antara penonton lelaki, penonton perempuan & keluarga.


Namun, dapat disaksikan pada Mini Konsert tersebut, pihak Hotlink tidak mematuhi syarat yang ditetapkan tersebut, malah didapati tiada langsung penghadang/ tali/ papan tanda/ arahan yang diberikan kepada penonton untuk mengasingkan kedudukan tempat duduk mereka. Maka, bercampur gaullah kedudukan penonton yang kesemuanya berasak-asak & bertolak-tolakan bercampur antara lelaki & perempuan ketika konsert berlangsung terutamanya ketika sesi
merebut 'goodies' Hotlink yang dilemparkan artis. Namun, tidak dapat dinafikan lautan rakyat Kelantan hadir pada malam tersebut, terutamanya golongan muda-mudi. Nampak gayanya, mungkin Jom Heboh edisi akan datang, tidak dibenarkan lagi diadakan sebarang konsert untuk program ini.

Mengikut soalan yang saya ajukan kepada seorang selebriti, beliau mengakui kagum dengan sambutan yang diberikan rakyat Kelantan yang mana menurut pengalamannya pengunjung Jom Heboh di Kelantan adalah yang paling ramai pengunjung hadir berbanding penganjuran di lokasi-lokasi lain. Kebanyakan kedai-kedai juga membuat keuntungan yang tinggi & stok Dinar Emas yang dijual juga dikhabarkan hampir kehabisan pada hari pertama program lagi yang mana rakyat Kelantan sememangnya diketahui mempunyai kuasa beli yang amat besar. Saya dan rakan cuba untuk mendapatkan komen dari wakil pihak penganjur mengenai komen terhadap sambutan program ini & syarat yang dikenakan kerajaan negeri dalam program ini menyusahkan atau sebaliknya bagi pihak mereka, namun pihak terbabit menolak untuk memberikan komen.

Banyak kelainan yang didapati pada penganjuran Jom Heboh versi kelantan pada kali ini. Yang paling ketara, semua artis & selebriti yang hadir terutamanya artis wanita diwajibkan memakai tudung & berpakaian menutup aurat walaupun ada sesetengah dari mereka yang berpakaian sendat. Selain itu, pada waktu Solat Jumaat, semua booth diwajibkan tutup dan program berhenti seketika bagi memberi peluang kepada kaum lelaki menunaikan Solat Jumaat di masjid berdekatan. Manakala pada waktu solat 5 waktu, azan akan dilaungkan dari speaker utama program & kesemua booth serta program yang dihoskan akan berhenti rehat seketika bagi memberi laluan kepada azan dan bagi menunaikan solat.


Pihak penganjur juga didapati menerapkan nilai-nilai islamik dari beberapa sudut seperti penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda rasmi Jom Heboh, kewujudan booth khas yang dinamakan 'Kota Ilmu' yang mana pada booth ini disajikan dengan pengisian ilmu sepanjang hari penganjuran karnival ini (yang sememangnya sinonim dengan rakyat Kelantan) dan sambutan dari hadirin amat menggalakkan. Antara program ilmu yang sempat saya tinjau di booth 'Kota Ilmu' ialah Al-Kuliyyah, Bengkel Pengurusan Jenzah, Demonstrasi Ruqyah dan sebagainya.

Walaupun umum mengetahui pihak TV3 banyak menghentam kerajaan negeri, memburuk-burukkan kerajaan negeri & rakyat Kelantan, menabur pelbagai fitnah terhadap Kelantan, namun rakyat Kelantan tetap ramai hadir memberikan sokongan terhadap program yang dianjurkan. Rakyat Kelantan sememangnya sentiasa memberikan bunga kepada sesiapa sahaja walaupun kepada pihak yang selalu melemparkan tahi kepada mereka.

Itulah bagusnya rakyat Kelantan...