16 January 2011

Mata Lalat vs Mata Lebah

Dicatat oleh Ibnu Halim

Mata Lalat dan Mata Lebah, yang manakah mata anda?

Cuba anda pandang cermin, jenis yang manakah mata anda? Jenis mata lalat atau jenis mata lebah? Pandang betul-betul, amati betul-betul, pastikan jenis matakah mata anda???

Macam manakah mata lalat? Dan macam manakah mata lebah pulak? Yang dimaksudkan mata lalat dan mata lebah disini bukanlah bentuk fizikal mata anda. Cuba anda perhatikan lalat, macam mana tabiatnya kalau dia pergi ke sesuatu tempat. Matanya sentiasa akan mencari tempat-tempat yang kotor seperti kawasan sampah, makanan busuk, dan pelbagai benda-benda kotor. Walaupun banyak benda yang elok, cantik dan bagus, namun mata lalat ini selalu tercari-cari yang tidak sedap kita pandang, yang busuk dan sebagainya.

Begitulah juga sebaliknya dengan lebah. Jika anda perhatikan, lebah walau kemanapun dia pergi matanya sentiasa liar mencari benda-benda yang cantik, yang wangi, yang sedap dipandang iaitu bunga ataupun sebagainya yang boleh mengeluarkan madu. walaupun lebah terbang melewati kawasan sampah yang bergunung, namun matanya tidak memerhatikan benda tersebut kerana target matanya adalah untuk mencari benda yang cantik dan wangi iaitu bunga.

Namun, apakah perbandingannya dengan mata anda? Samalah juga sebenarnya dengan mata kita. Jika anda jenis yang suka mencari kesalahan orang walau dimana anda berada, suka mencari keburukan seseorang ataupun sesuatu perkara, suka mencari yang buruk walaupun dihadapan mata anda terpampang luas benda yang cantik, yang elok namun sifat anda umpama mata lalat, meliar mencari yang buruk dan busuk. Orang bermata lalat ini, tidak akan nampak yang baik walau sebesar gunung, tapi nampak keburukan walau sekecil nyamuk.

Begitu jugalah dengan istilah mata lebah. Jika anda jenis yang suka mencari kebaikan walaupun terpampang dihadapan anda keburukan, gemar menyelidik mencari kebaikan walaupun dilindungi oleh keburukan yang bergunung, maka andalah mata lebah yang sememangnya sukakan benda yang cantik, yang harum dan yang bagus. Mata lebah walau dimana dia berada, walau dimana dia melewati, tumpuannya hanyalah kepada yang baik dan bagus untuk dipandang sahaja.

Maka, selidik betul-betullah jenis yang manakah mata anda?

Perlu kita ketahui, kedua-dua jenis mata sebegini memberikan kesan kepada orang sekeliling. Jika bermata lalat, sifat semula jadinya adalah suka mencari sampah yang busuk dan benda-benda yang buruk lalu dihinggapinya di tempat tersebut. Lalu lalat tersebut akan terbang sambil turut membawa kuman dan bakteria dari tempat yang dihinggapinya tadi dan kemudiannya akan menghinggap makanan anda, lauk anda, tubuh anda dan sebagainya. Kuman yang dibawa tadi akan melekat pada makanan anda dan apabila anda makan makanan tersebut, maka menetaplah kuman tersebut dalam badan anda lalu terkenalah pelbagai penyakit yang menyusahkan hidup anda.

Kita tengok pula tabiat semula jadi lebah yang menghinggap bunga untuk diambil madu, lalu membawa madu tersebut kembali untuk dikumpulkan disarangnya. sarang lebah memang diketahui umum mengandungi banyak madu yang berkhasiat tinggi. Manusia seperti kita akan megambil madu tersebut untuk dijadikan makanan tambahan, sebagai ubat, sebagai amalan sunnah harian dan sebagainya yang akhirnya akan memberi manfaat yang tinggi untuk diri anda. Badan yang sakit semakin sihat, rasanya pun manis yang boleh meransang percambahan otak disamping memberi kebaikan berguna untuk diri kita semua.

Begitu jugalah manusia yang bermata lalat, yang sentiasa mencari yang buruk kemudiannya akan membawa benda buruk yang diambilnya tadi kepada orang lain. Orang lain yang didatanginya akan dihinggapi oleh keburukan-keburukan dari dirinya yang diwa tadi. Orang sekelilingnya akan mendapat manfaat buruk hasil dari tabiat mata lalatnya tadi.

Sebaliknya pula dengan manusia yang bermata lebah, orang sekelilingnya menerima kesan yang baik iaitu mendapat kebaikan dari dirinya yang suka mencari kebaikan tadi. Segala kebaikan yang diambilnya dari orang lain tadi akan dikumpulkan dalam hatinya. Manakala orang sekeliingya pula akan berkongsi kebaikan yang terkumpul dalam dirinya dan akhirnya memberi manfaat kepada ramai orang.


Selamat merenung disebalik cermin...


Perhatikanlah dalam-dalam, yang manakah diri anda...

Wassalam..