03 January 2011

Karnival Jom Ke Masjid Kg kadok 2010/11

Dicatat oleh Ibnu Halim


Masjid sebagai sebuah institusi masyarakat perlu dipelbagaikan fungsinya bagi memacu perubahan dalam sesebuah masyarakat yang ingin berjaya. Alhamdulillah, dalam kesibukan kehidupan, saya sempat menyertai satu program mengimarahkan masjid bersempena dengan ambang tahun baru 2011 telah diadakan pada 31 Disember 2010 hingga 1 Januari 2011 bertempat di Masjid Mukim Kadok, Kota Bharu. Program karnival Jom ke Masjid ini adalah anjuran bersama Kelab Keusahawanan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Kadok, Unit Dakwah Halaqat dan Kelab Kesihatan HALUAN.


Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik telah diadakan
sepanjang 2 hari program ini berlangsung. Bermula dengan hari pertama (Jumaat), diadakan gotong-royong membersihkan masjid oleh pelajar KTD bersama masyarakat pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, jam 3.00 petang, diadakan pendaftaran untuk Kem Solat Remaja yang mendapat penyertaan 101 peserta berumur 12 - 16 tahun. Pada sebelah malamnya pula diadakan program khas Sambutan ambang Tahun Baru 2011. Majlis dimulakan dengan Kuliah Maghrib bertajuk "Implikasi Merokok" yang telah disampaikan oleh seorang doktor jemputan. Selepas Solat Isya' diadakan Solat Hajat dan kemudiannya diadakan Forum Perdana yang membariskan 3 orang ahli panel terkemuka.

Pada hari kedua iaitu hari sabtu, diadakan Karnival Jom Gi Masjid bermula Jam 9 pagi hingga 4 petang. Antara aktiviti yang diadakan ialah Majlis Mengacau Asyura sebanyak 5 kawah yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung. Selain itu, turut diadakan Pemeriksaan Kesihatan daripada Doktor Pakar secara Percuma untuk penduduk kampung, Kempen Derma Darah, dan Pameran serta Jualan beberapa barangan.

Program ini diadakan bertujuan untuk mempelbagaikan lagi fungsi masjid disamping mendidik masyarakat agar memusatkan segala aktiviti kemasyarakatan bertumpu di masjid sebagaimana yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW zaman dahulu. Disamping itu, program ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung serta dari kalangan pelajar sendiri.


Sambutan oleh masyarakat amat menggalakkan dimana kira-kira 500 orang menghadiri Forum Perdana, 100 peserta mendaftar dalam Kem Solat Remaja, 130 orang membuat pemeriksaan kesihatan dan 20 orang telah menderma darah. Pihak masjid memaklumkan jumlah tersebut merupakan jumlah yang besar bagi masyarakat disini.

Walaupun letih menghadiri program ini, letih melayan kerenah adik-adik yang dahagakan bimbingan, melayan kerenah masyarakat yang sukar memahami erti perjuangan, namun semuanya terubat melihatkan masyarakat yang datang dapat pulang seribu kegembiraan. Keletihan juga terubat melihatkan satu lagi program mengimarahkan masjid berjaya dihidupkan dalam masyarakat yang dahagakan tajdid dalam kehidupan.