23 June 2010

Rejab Sudah Tiba

Dicatat oleh Ibnu Halim

Assalamualaikum, Salam ukhuwwah di alam maya tanpa batasan ini.

Alhamdulillah, dalam sedar tidak sedar, Rejab tiba lagi. Maka apabila tibanya Rejab, bermulalah fasa awal persediaan untuk menghadapi penghulu segala bulan, bulan yang paling dinanti-nantikan, Ramadhan Al-Mubarak. Bulan Rejab yang merupakan bulan ketujuh dalam kalendar hijriah merupakan salah satu bulan besar yang mulia dalam Islam. Junjungan Besar Muhammad SAW ada bersabda, "Rejab adalah Bulan Allah, Sya'ban Bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku".

Apabila tibanya bulan Rejab, Nabi Muhammad SAW juga selalu berdoa sebagaimana doa berikut:

" Ya Allah, Berkatilah kami di Bulan Rejab dan Syaaban serta
sampaikanlah kami ke Bulan Ramadhan"


Ini membuktikan betapa besarnya fadilat yang terdapat di Bulan Rejab yang kita sedang hadapi ini. Terdapat banyak lagi hadis serta sandaran-sandaran kepada para sahabat menegnai keagungan serta kebesaran Bulan Rejab ini.

Di Bulan Rejab ini juga, amalan yang disunatkan kepada umat islam serta amalan terbaik untuk diamalkan ialah berpuasa. Ada sesetengah sahabat Nabi memberitahu bahawa Nabi Muhamamd SAW puasa terus menerus di Bulan Rejab. Diriwayatkan juga pelbagai fadilat kelebihan berpuasa di Bulan Rejab ini yang mana pahala berlipat kali ganda dijanjikan untuk umat-Nya yang mengambil kesempatan untuk berpuasa di Bulan Rejab ini.

Bulan Rejab juga adalah merupakan fasa penanda aras unutk umat-Nya membuat pelbagai persediaan rohani untuk menghadapi Ramadhan Kareem. Bulan Rejab bulan yang sesuai untuk bertaubat, untuk menyucikan hati, untuk membiasakan ibadat malam serta sebagainya bagi memasuki fasa Ramadhan yang bakal tiba.

"REJAB bulan menabur benih. SYAABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADAN bulan menuai.
"

"REJAB menyucikan badannya. SYAABAN menyucikan hatinya.
RAMADAN menyucikan rohnya."


"REJAB bulan taubat. SYAABAN bulan muhibbah.
RAMADAN dilimpahi pahala amalan.
"

Marilah sama-sama kita mengambil peluang yang terbuka luas ini untuk membuat persiapan rohani serta jasmani bagi menghadapi Bulan Agung Ramadhan yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi. Mulakanlah puasa anda hari ini....
Salam bittaufiq wannajah