04 April 2012

Air Kelantan

Dicatat oleh Ibnu Halim


Apabila membicarakan mengenai istilah "Air Kelantan", pelbagai isu dan tanggapan singgah di benak fikiran kita semua. Tanggapan tersebut yang mungkin datang dari momokan media massa, momokan cerita sekitar, juga tidak kurangnya tanggapan hasil dari penaglaman yang pernah ditmpuhi individu tersebut.

Yang paling banyak dimomokkan ialah Air Kelantan yang dikatakan bermasalah, terkotor di Malaysia, menyebabkan timbul pelbagai penyakit dan sebagainya. Momokan ini ditimbulkan hanya disebabkan Kelantan itu ditadbir oleh parti kepimpinan ulama' yang berlawanan dengan ideologi parti pemerintah kerajaan pusat yang beraliran nasionalisme..

Berbicara mengenai masalah air yang berlaku, memang diakui bekalan air di bawah pengurusan anak syarikat kerajaan negeri, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memang bermasalah dari segi bekalan, sumber, kualiti, pengurusan dan sebagainya. Hakikat yang perlu diketahui umum disini, seluruh negeri di Malaysia pun mempunyai masalah air sebegini di negeri masing-masing, bahkan banyak lagi negeri lain yang lebih teruk bermasalah. Rujuk sini. Cuma yang membezakan ialah masalah tersebut disensasikan atau tidak disensasikan oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Mengenai kualiti air yang dikatakan air Kelantan adalah terkotor di Malaysia pula, kita perlu merujuk fakta dan sumber kesasihan berita tersebut sebelum mengambil berita tersebut untuk dijadikan fahaman, hujahan mahupun sebaran umum. Perlu kita membuat kajian fakta, air di Kelantan sebenarnya berada di tangga ke-5 yang mengandungi kandungan bakteria & virus, berada dibawah negeri-negeri lain yang lebih 'kaya' dan mendapat dana bantuan pengurusan air berbilion ringgit saban tahun.

Apa yang belum difahami dan diketahui umum, masalah utama yang berlaku dalam isu air di Kelantan adalah disebabkan oleh kekurangan sumber kewangan bagi menguruskan dan menaik taraf bekalan air. Walaupun semua negeri dalam Malaysia sebenarnya berhak mendapat dana berbentuk geran kerajaan yang berjumlah berbilion ringgit dari kerajaan pusat bagi menguruskan dan menaik taraf air di negeri masing-masing, namun terdapat sebuah negeri yang dicicirkan dari senarai negeri yang saban tahun menerima geran tersebut. Negeri tersebut dinafikan haknya selama belasan tahun dan akhrinya hanya diberikan dana berbentuk pinjaman yang hanya berjumlah ratusan juta. Berbeza dengan negeri lain yang diberikan dana berbentuk geran kerajaan (tidak perlu dibayar balik) dalam jumlah yang banyak, berbilion ringgit. Rujuk sini.

Di negeri itu jugalah, pelbagai momokan ditabur dan disensasikan. Dari segi tinjauan umum yang sempat saya lakukan di beberapa daerah dalam Kelantan, isu ini sebenarnya tidak diambil peduli pun oleh masyarakat setempat, ianya hanya isu politik. Masalah bekalan air memang berlaku, namun hanya di sesetengah tempat yang berada di kedudukan yang agak tinggi, yang berada jauh dari penempatan utama, dan kawasan-kawasan yang masih dalam proses menaik taraf paip bekalan air dan loji air di kawasan tersebut. Mengenai air yang kotor pula, tidak dikatakan pun oleh masyarakat air Kelantan ini kotor hingga menyebabkan timbul pelbagai penyakit dan lebih serius dikatakan menyebabkan punca kematian!

Namun, ada juga golongan masyarakat yang mengutuk pihak kerajaan negeri dengan pelbagai tohmahan dan fitnah yang tidak berasas apabila ditanya mengenai isu air di negeri Kelantan. Ada yang mengatakan air tidak pernah ada, air amat kotor dan berwarna kekuningan, bil melambung tinggi, paip keluar angin tapi meter bergerak serta pelbagai lagi tohmahan dan kata-kata yang kurang enak didengari diluahkan oleh mereka. Setelah diselidiki, memang betul apa yang dikatakan oleh segolongan masyarakat tersebut, namun itu sebenarnya adalah kisah dan situasi 5 - 20 tahun yang dulu!

Perkara itu juga keluar disebabkan segolongan masyarakat tersebut yang sebenarnya berfahaman ideologi politik berlainan daripada ideologi politik pemerintah negeri Kelantan. Saya tersenyum sendirian apabila mengetahui perkara tersebut. Fahaman politik juga sebenarnya mempengaruhi tanggapan dan sensasi sesuatu isu...

Orang yang bermata lalat sentiasa mencari keburukan walaupun kebaikan di depan mata, Sedangkan Orang yang bermata Lebah sentiasa mencari kebaikan walaupun keburukan ada di depan mata..

Anda bagaimana?

27 November 2011

Apa Dendam Media Terhadap Kelantan

Dicatat oleh Ibnu Halim

23 November 2011 yang merupakan penghulu segala hari, Hari Jumaat yang lepas telah dicemari dengan budaya kerja media yang mengelirukan rakyat melalui medan suaranya yang sepatutnya digunaka untuk kebaikan.

Jam 7.00 pagi, berita RTM memaparkan berita perkembangan semasa banjir. Menyentuh banjir di Kelantan, pembaca berita menyebut berita yang menggambarkan bahawa banjir amat buruk sedang berlaku di Kelantan yang ingin dikaitkan dengan kegagalan kerajaan Kelantan mengawal masalah banjir saban tahun. Apabila menyebut jumlah mangsa yang berpindah di Kelantan pula disebut 1800 orang tapi jadual grafik yang dipaparkan hanya menunjukkan jumlah 1400 orang, menggambarkan media yang ingin melebih-lebih dalam memburukkan keadaan Kelantan. Walhal melihat kepada jumlah mangsa banjir di Kelantan adalah jauh lebih rendah berbanding Terengganu pada masa itu, berjumlah lebih 2000 orang, namun tidak pula disebutkan banjir sedang buruk di Terengganu.

Tengah hari, selepas Solat Jumaat saya membeleksebuah akhbar bahasa Melayu yang beredisi Kelantan. Sekali lagi terdapat perkara yang memburukkan imej Kelantan dilakukan oleh media. Membelek helaian 4 sisipan berita daerah Kelantan, berita yang agak besar di bahagian bawah melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi pesan kepada rakyat Kelantan agar menyatakan pendirian dengan mengubah kepimpinan Kelantan sekarang dalam PRU-13 akan datang yang katanya ‘agar Kelantan tidak semakin ketinggalan’. Berita berkenaan menyebut seramai 15,000 rakyat hadir memberi sokongan ke majlis jamuan rakyat bersama TPM di SK Gual Ipoh, Tanah Merah pada 23 Nov yang lepas. Namun, apabila dibelek lagi di muka 19, berita khas daerah Tanah Merah, dilaporkan berita bertajuk “18,000 memeriahkan karnival”. Pihak Umno Bahagian Tanah Merah menyatakan sejumlah 18,000 orang yang hadir dan ini adalah tanda sokongan dan komitmen rakyat terhadap Umno semakin bertambah di Tanah Merah & Kelantan. Ini jelas berbeza dengan berita di muka yang terkedepan tadi iaitu diberitakan 15,000 orang yang hadir, namun pihak Umno Bahagian melalui media berkenaan bersikap melebih-lebih apabila menyatakan 18,000 rakyat yang hadir. Percanggahan fakta ini menggambarkan sikap media yang tidak telus dalam melaporkan berita dan kemungkinan jumlah orang yang hadir dalam majlis tersebut jauh lebih rendah berbanding jumlah yang dilaporkan .

Walaupun 10,000 orang yag hadir sekalipun, pihak Umno tidak boleh berbangga dengan jumlah itu kerana sebenarnya semua sekolah dalam daerah Tanah Merah telah mengeluarkan sepucuk surat yang ditandatangani Guru Besar kepada semua guru, guru Kafa, staf sekolah, dan ibu bapa pelajar yang mana menyatakan semua yang terbabit Diwajibkan Hadir (dengan tulisan Bold Hitam) ke majlis tersebut. Maka semua ibu/bapa/penjaga yang rata-ratanya masyarakat kampung di Tanah Merah ini merasakan perlunya hadir, bimbang kehadiran diambil dan tindakan akan dikenakan kepada anak masing-masing di sekolah nanti. Tidak dikira lagi dengan semua guru yang sememangnya akan dikenakan tindakan sekiranya tidak hadir, maka tidak hairanlah walaupun ramai orang yang hadir.

Membelek halaman lain, terjumpa berita bertajuk “Banjir Kelantan Paras Bahaya”. Apabila dibaca berita lanjut dalam artikel berkenaan, berita mengatakan air sungai utama di Kelantan berada pada paras amaran dengan jumlah mangsa perpindahan banjir seramai 1,184 orang. Langsung tidak menghuraikan tajuk utama, “Banjir Kelantan Paras Bahaya”. Namun, dalam artikel dibawah tajuk yang sama, dipaparkan air sungai di beberapa lokasi di Terengganu dilaporkan Melebihi Paras Bahaya dengan mangsa perpindahan banjir seramai 2,402 orang (jauh lebih ramai berbanding Kelantan). Secara jelas berita ditulis air sungai di Terengganu berada pada paras melebihi tahap berbahaya berbanding Kelantan hanya pada paras amaran dan sepatutnya berita tersebut bertajuk “Banjir Terengganu Paras Bahaya”. Hanya kerana Kelantan dibawah pimpinan ulama’ dan Terengganu di bawah pimpinan nasionalis (Umno), maka berita dilaporkan sedimikian rupa. Sekali lagi secara jelas media melebih-lebih dalam memburukkan imej & keadaan di bawah kepimpinan ulama’ Kelantan.

Seterusnya, selepas pulang Solat Isya’ di masjid, saya membuka saluran TV3 menonton siaran Buletin Utama bagi mengetahui isu semasa negara tercinta ini. Sekali lagi pada hari ini berita mengelirukan rakyat dikeluarkan oleh media Malaysia. Berita ringas dalam bentuk tulisan yang sentiasa bergerak di bahagian bawah berita memaparkan “Orang Ramai Dijemput Hadir Ke Majlis Bekwoh Anak Kelate 2011 bersama Pemimpin-Pemimpin Kelantan pada 26 Nov 2011, Sabtu di Stadium Putra, Bukit Jalil”. Saya yang pada mulanya bersangka baik kepada TV3 memikirkan TV3 sanggup mengiklankan program kerajaan negeri dalam siaran berita mereka. Namun apabila disiasat, kawan saya memaklumkan bahawa majlis tersebut sebenarnya adalah Majlis Perhimpunan Ahli Umno Kelantan bersama pemimpin pengkhianat Kelantan yang bermimpi memerintah Kelantan sejak 2 dekad yang lalu iaitu Dato’ Mustapha Mohamad & Awang Adek serta dihadiri seorang Menteri jemputan, Dato’ Shabery Chik.

Keesokan harinya, (26 Nov) saya menonton Buletin 1.30 TV3. Sekali lagi iklan majlis tersebut diiklan dalam TV3, bagaikan TV3 ini adalah media rasmi Umno walaupun umum mengetahu TV3 adalah media swasta. Satu lagi perkara menyakitkan hati selaku rakyat Kelantan apabila berita ringas dalam bentuk tulisan yang sentiasa bergerak di bahagian bawah berita memaparkan “Banjir Kelantan Semakin Buruk”. Namun tidak sampai 5 minit kemudian pembaca berita membacakan berita berbunyi : “Banjir di Kelantan semakin pulih….”. Secara jelas, sekali lagi percanggahan berita diberikan kepada rakyat Malaysia dalam satu berita yang sama, sama seperti berita dari akhbar yang saya ceritakan tadi.

Sungguh keji etika kewartawanan dan kebebasan media yang diamalkan para media negara ini apabila banyak memutar belitkan fakta dengan niat mengelirukan rakyat. Mereka ini tidak mengambil iktibar terhadap peringatan yang diberikan di mana setiap tulisan dan perbuatan mereka walau baik dan buruk akan dicatat oleh malaikat dan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Semoga Allah dapat menunjukkan yang hak & menjatuhkan yang batil suatu hari nanti. Insya-Allah..

11 November 2011

Hari Keputeraan Sultan Kelantan 11/11/11

Dicatat oleh Ibnu Halim



Alhamdulillah di hari baik bulan baik tarikh baik hari ini diberi kesempatan untuk mencoretkan sedikit perkongsian buat anda semua.

Tengah hari tadi, sempat berkunjungan ke rumah Allah, Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk menunaikan Solat Fardhu Jumaat. Sampai di masjid, memang begitu ramai orang dan sesak jalan, tambahan pula baru ingat hari ini merupakan hari Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V.

Difahamkan pada sebelah pagi diadakan majlis berasingan di Istana balai Besar dan Padang Merdeka yang juga berdekatan dengan Masjid Muhammadi dan pada sebelah tengah hari akan diadakan jamuan rakyat selepas Solat Jumaat untuk hadirin Solat Jumaat di Masjid Muhammadi pada hari ini. Menurut sumber juga, perayaan sambutan akan diadakan sehingga ke hari Sabtu (12 November 2011). Tema pada sambutan ini ialah Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung menggambarkan keperibadian mulia dan kemartabatan Islam oleh YM Sultan Kelantan.


Jalan memang begitu sesak dengan kehadiran ramai angota polis berkawal dan banyak jalan sekitar Masjid Muhammadi ditutup untuk didirikan deretan khemah yang tersaji makanan untuk jamuan rakyat selepas Solat Jumaat. Kelihatan kereta rasmi Sultan Kelantan & rombongan diparking antara celah ruang bangunan solat Masjid Muhammadi dengan dinaungi khemah berhias kain serba kuning. Kelihatan juga sangat ramai orang segak memakai baju melayu sepasang bersampin berada di Masjid Muhammadi hari ini.





Khutbah Jumaat hari ini dibuat khusus sempena Sambutan Keputeraan Sultan Kelantan ini. Khutbah pada mulanya menyentuh sejarah ringkas pemerintahan bersultan di Kelantan yang bermula pada puluhan tahun sebelum merdaka lagi. Diceritakan bagaimana agungnya pemerintahan sultan pada zaman dahulu sebelum pihak Barat datang menjajah Tanah Melayu dan kuasa sultan sedikit demi sedikit dikurangkan & dihadkan. Pemerintahan Sultan pada dahulu kala juga amat berkait rapat dengan Hal Ehwal Islam dan sultanlah yang banyak memainkan peranan dalam menginstitusikan ajaran Islam dalam menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh rakyat. Segala Ulama'-ulama' yang ada adalah dinaungi dan dijaga oleh Sultan.

Yang paling menarik diceritakan pada pemerintahan Sultan Muhammad Ke II (kalau tidak silap), Sultan pada zaman tersebut telah mengamalkan diamna orang yang mencuri akan dipotong tangan. Ini menunjukkan bahawa Negeri Serambi Mekah Kelantan ini pernah mengamalkan hukuman mengikut Hukum Allah iaitu Hukuman Hudud pada zaman dahulu dibawah kuasa & seliaan Sultan pada satu masa dahulu. Dan diceritakan hukuman berkenaan diteruskan oleh sultan yang menggantikan Baginda selepas daripada itu. Namun semuanya terhapus dan terkubur begitu sahaja bersama banyak lagi amalan-amalan baik yang lain setelah kedatangan para penjajah. Kita memahami bahawa agenda Barat berkenaan kemudiannya disambung oleh pihak yang mengamalkan pemerintahan nasionalis & demokrasi mengikut acuan telunjuk Barat sehingga kini.


Kesimpulan daripada khutbah pada hari ini, khatib mengajak semua pihak tidak kira jawatan, taraf, kepentingan peribadi dan sebagainya untuk sama-sama memainkan peranan bagi menyelesaikan masalah utama yang masih banyak membelenggu umaat islam secara global diseluruh dunia. Selepas Solat Jumaat, oang ramai kelihatan berebut-rebut untuk mengambil hidangan dibawah khemah yang disediakan.


Dapat dipuji dari segi pengurusan untuk jamuan rakyat ini, disediakan dua lokasi dereten khemah di sekitar masjid. Lokasi pertama di jalan utama hadapan masjid, deretan khemah ialah hidangan secara layan diri untuk hadirin yang ingin terus makan manakala lokasi kedua tidak jauh dari lokasi berkenaan, hidangan telah siap dibungkus dalam polysterine dan dibahagi-bahagi kepada hadirin yang ingin segera pulang. Namun, kelihatan sangat ramai orang mengerumuni di bahagian layan diri dan diperhatikan lauk di bawah khemah tersebut habis memang sebegitu cepat.


"ISLAM DIJUNJUNG, RAJA DISANJUNG, RAKYAT DIPAYUNG.."
ALLAHU AKBAR..

31 October 2011

Jom Heboh Kelantan 2011

Dicatat oleh Ibnu Halim

Pada 28 & 29 Oktober yang lepas, bersamaan dengan tarikh awal bulan haram dalam Islam (1 & 2 Zulhijjah), pihak Media Prima telah mengadakan Karnival Jom Heboh kali yang ke-2 di Bumi Serambi Mekah, Kelantan.

Saya juga telah berkesempatan mengunjungi karnival tersebut pada petang Jumaat yang juga bersamaan 1 Zulhijjah 1432H. Walaupun seharian hari Jumaat tersebut cuaca di Kota Bharu hujan dari pagi hingga ke petang, namun dikhabarkan orang tetap ramai mengunjungi karnival tersebut bermula pagi lagi tidak putus-putus hingga ke waktu malam. Saya merasai sendiri pengalaman memang ramai orang mengunjungi karnival tersebut hinggakan jalanraya mengalami kesesakan teruk di semua jalan utama menuju ke bandar Kota Bharu.

Kerajaan negeri membuat keputusan untuk tidak membenarkan Konsert Jom Heboh diadakan pada tahun ini disebabkan masalah-masalah yang berlaku pada pengalaman lepas, namun pihak Hotlink dibenarkan untuk mengadakan Mini Konsert pada 2 hari karnival ini berlangsung. Artis yang terlibat ialah Tomok & Akim (Duta Hotlink) yang mana lagu-lagu nyanyian mereka kesemuanya telah ditapis & dipilih oleh pihak kerajaan negeri. Kerajaan Negeri Kelantan juga memberikan syarat supaya pihak Hotlink mematuhi Enakmen Hiburan Kelantan iaitu mengasingkan tempat duduk antara penonton lelaki, penonton perempuan & keluarga.


Namun, dapat disaksikan pada Mini Konsert tersebut, pihak Hotlink tidak mematuhi syarat yang ditetapkan tersebut, malah didapati tiada langsung penghadang/ tali/ papan tanda/ arahan yang diberikan kepada penonton untuk mengasingkan kedudukan tempat duduk mereka. Maka, bercampur gaullah kedudukan penonton yang kesemuanya berasak-asak & bertolak-tolakan bercampur antara lelaki & perempuan ketika konsert berlangsung terutamanya ketika sesi
merebut 'goodies' Hotlink yang dilemparkan artis. Namun, tidak dapat dinafikan lautan rakyat Kelantan hadir pada malam tersebut, terutamanya golongan muda-mudi. Nampak gayanya, mungkin Jom Heboh edisi akan datang, tidak dibenarkan lagi diadakan sebarang konsert untuk program ini.

Mengikut soalan yang saya ajukan kepada seorang selebriti, beliau mengakui kagum dengan sambutan yang diberikan rakyat Kelantan yang mana menurut pengalamannya pengunjung Jom Heboh di Kelantan adalah yang paling ramai pengunjung hadir berbanding penganjuran di lokasi-lokasi lain. Kebanyakan kedai-kedai juga membuat keuntungan yang tinggi & stok Dinar Emas yang dijual juga dikhabarkan hampir kehabisan pada hari pertama program lagi yang mana rakyat Kelantan sememangnya diketahui mempunyai kuasa beli yang amat besar. Saya dan rakan cuba untuk mendapatkan komen dari wakil pihak penganjur mengenai komen terhadap sambutan program ini & syarat yang dikenakan kerajaan negeri dalam program ini menyusahkan atau sebaliknya bagi pihak mereka, namun pihak terbabit menolak untuk memberikan komen.

Banyak kelainan yang didapati pada penganjuran Jom Heboh versi kelantan pada kali ini. Yang paling ketara, semua artis & selebriti yang hadir terutamanya artis wanita diwajibkan memakai tudung & berpakaian menutup aurat walaupun ada sesetengah dari mereka yang berpakaian sendat. Selain itu, pada waktu Solat Jumaat, semua booth diwajibkan tutup dan program berhenti seketika bagi memberi peluang kepada kaum lelaki menunaikan Solat Jumaat di masjid berdekatan. Manakala pada waktu solat 5 waktu, azan akan dilaungkan dari speaker utama program & kesemua booth serta program yang dihoskan akan berhenti rehat seketika bagi memberi laluan kepada azan dan bagi menunaikan solat.


Pihak penganjur juga didapati menerapkan nilai-nilai islamik dari beberapa sudut seperti penggunaan tulisan jawi pada setiap papan tanda rasmi Jom Heboh, kewujudan booth khas yang dinamakan 'Kota Ilmu' yang mana pada booth ini disajikan dengan pengisian ilmu sepanjang hari penganjuran karnival ini (yang sememangnya sinonim dengan rakyat Kelantan) dan sambutan dari hadirin amat menggalakkan. Antara program ilmu yang sempat saya tinjau di booth 'Kota Ilmu' ialah Al-Kuliyyah, Bengkel Pengurusan Jenzah, Demonstrasi Ruqyah dan sebagainya.

Walaupun umum mengetahui pihak TV3 banyak menghentam kerajaan negeri, memburuk-burukkan kerajaan negeri & rakyat Kelantan, menabur pelbagai fitnah terhadap Kelantan, namun rakyat Kelantan tetap ramai hadir memberikan sokongan terhadap program yang dianjurkan. Rakyat Kelantan sememangnya sentiasa memberikan bunga kepada sesiapa sahaja walaupun kepada pihak yang selalu melemparkan tahi kepada mereka.

Itulah bagusnya rakyat Kelantan...

18 October 2011

Kisah Masyarakat : Bersama Orang Kemboja

Dicatat oleh Ibnu Halim


Assalamualaikum, Salam dihulur tanda ingatan buat saudara-saudara penumpang di Bumi Allah sekalian.

Sudah lama rasanya tidak mencoretkan sesuatu di laman maya ini. Benar kata orang, jika ingin melakukan sesuatu, banyak memerlukan kesabaran, ketekunan, kegigihan & keikhlasan dalam melakukan perkara tersebut. Namun, perkara-perkara tersebutlah yang diri ini masih belum boleh mantapkan lagi untuk kerja-kerja dakwah ini dalam rangka untuk sama-sama berubudiah kepada Allah SWT.

Dikesempatan yang ada ini, saya ingin berkongsi pengalaman bersama seorang pengetua sebuah sekolah agama dari Kemboja yang mengunjungi Kelantan baru-baru ini. Kebetulan diizinkan Allah, saya diberikan tanggungjawab untuk mengiringi beliau sepanjang berada di Kelantan. Kesempatan 3 hari bersama beliau bermula dari beliau tiba di Kelantan, ke tempat penginapan, ke kedai-kedai makan & ke masjid-masjid sekitar Kota Bharu dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi pengalaman bersama beliau.

Beliau yang merupakan pengetua sebuah sekolah agama di Kampung Cham, Kemboja diberi kepercayaan untuk menjadi pengetua sekolah terbabit oleh Jabatan Mufti Kemboja yang menaungi sekolah terbabit selepas belasan tahun berkhidmat mendidik anak-anak bangsanya di sekolah terbabit tanpa mendapat GAJI/ ELAUN yang tetap dari mana-mana pihak. Itulah yang saya kagumi pada beliau saat mula-mula berbicara dengan beliau. Keikhlasan dan kegigihan sebegini demi melihat anak bangsanya tidak ketinggalan dalam agama Islam dapat kita dengari dalam lipatan sejarah Malaysia lebih 50 tahun dahulu. Namun, itu lebih 50 tahun dahulu, zaman sekarang, guru-guru di Malaysia semuanya sudah bergaji/ berelaun yang rata-ratanya bermula dari kadar minimum RM 800 (sekolah agama rakyat) hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan (sekolah kerajaan). Guru agama di masjid-masjid, surau-surau & ceruk kampung pun mendapat elaun sekurang-kurangnya RM 600 sebulan. Itulah realitinya di Malaysia, tiada lagi yang kita kedengaran kisah sebegitu kan.

Sudah lah mengajar tidak pernah mendapat gaji, cabaran dan dugaan pula amat besar dalam mendidik masyarakat disana. Cabaran paling ketara yang saya dengar alah masalah infrastruktr. Perlu kita ketahui, masyarakat Kemboja tidak pernah menikmati bekalan eletrik dalam hidup mereka. Kita merasai lampu pendaflour eletrik, mereka merasai lampu minyak tanah & unggun api, kita merasai kipas angin eletrik, air-cond dan sebagainya yang boleh dikawal kelajuannya, namun mereka hanya berharap kepada angin semulajadi anugerah Ilahi yang tidak menentu kelajuannya.

Cabaran lain yang dihadapi disana ialah faktor keluarga & kefahaman masyarakat disana yang kurang mementingkan pelajaran terutamanya pelajaran agama. Masyarakat disana lebih rela anak-anaknya bersama mereka mencari nafkah seperti bercucuk tanam & memelihara pelbagai haiwan ternakan berbanding menghantar anak mereka ke sekolah menambah lmu di dada. Itulah cabaran terbesar yang dihadapai Ust Ramsan. Jadi, ramailah anak-anak kecil yang tidak bersekolah dan menghabiskan masa di dalam semak, dalam lumpur, dalam kandang, dalam hutan dan sebagainya.

Kerajaan Kemboja memang ada menyediakan sekolah yang lengkap infrastruktur dan sistem pembelajarannya, namun sekolah sekular itu hanya mengajar ilmu-ilmu kebangsaan seperti bahasa kesusasteraan, sejarah, dan pelbagai ilmu asas lain. Ilmu agama langung tidak diajar di sekolah kebangsaan disana. Jadi, itu juga yang menjadi cabaran kepada pihak sekolah kerana terpaksa bersaing dengan sekolah kerajaan yang jauh lebih selesa bagi mendapat kepercayaan ibu bapa pelajar-pelajar untuk menghantar anaknya ke sekolah yang mana walaupun kawasan tersebut majoritinya adalah antara kawasan yang paling ramai terdapat penganut Islam. Masalah ini juga hampir menyamai situasai di Kelantan.

Namun, Alhamdulillah boleh dibanggakan, sekolah tesebut semakin lama semakin berkembang. Daripada dahulunya Ust Ramsan yang menjadi guru berseorangan, kini terdapat 11 guru yang menabur baki mendidik anak bangsa disitu walaupun kesemuanya masih tidak diberikan gaji/elaun. Bangunan utamanya yang diperbuat dari simen dan sempurna juga telah dapat digunakan walaupun masih belum siap sepenuhnya. Pelajarnya juga semakin bertambah bermula dari tahap tadika hinggalah ke tahap menengah tinggi (ibtida'e & thanawi). Namun, masalahnya disitu, sekolah tersebut langsung tidak mempunyai sistem pembelajaran dan sistem pengurusan. Guru yang ingin masuk mengajar mana-mana kelas, bebas untuk mengajar apa jua subjek & tajuk yang dirasakan sesuai dan patut diajar kepada para pelajar mengikut tahap masing-masing. Itulah juga tujuan utamanya berkunjung ke Malaysia & singgah 3 hari di Kelantan iaitu bagi mengutip dana untuk memberi saguhati kepada guru-guru di sekolah berkenaan serta bantuan bagi membuat sistem persekolah yang sesuai bagi sekolah mereka.


Alhamdulillah, bantuan yang termampu telah dihulurkan kepada beliau. Dicadangkan kepada beliau untuk mewujudkan sebuah jawatankuasa pemegang amanah yang terdiri daripada orang yang berpengalaman dan berilmu di Kemboja yang akan menguruskan sekolah tersebut. Jawatankuasa tersebut dinasihatkan agar memmbeli aset yang tetap seperti tanah yang boleh ditanam sayur, getah atau kelapa sawit yang mana hasilnya akan dirasai secara berterusan dimasa hadapan. Ataupun boleh membeli aset-aset lain yang boleh mengeluarkan hasil secara berterusan serta boleh digunakan untuk membayar gaji kepada guru ataupun bagi menguruskan sekolah.

Namun, untuk membeli aset tersebut memerlukan dana yang agak besar. Semoga Ust Ramsan berjaya mengumpulkan dana yang mencukupi demi menegakkan syiar Islam di Bumi Kemboja, Insya-Allah..

*Sumbangan amat dialu-alukan sepanjang masa. Berminat, boleh email kepada : nurqalbu@yahoo.com

03 June 2011

Walimatul Urus atau Kesyukuran?

Dicatat oleh Ibnu Halim

Assalamualaikum dan salam sejahtera untuk semua.


Cuti persekolahan menjelma lagi. Cuti persekolahan pertengahan penggal selama dua minggu ini dimanfaatkan oleh kebanyakan ahli masyarakat untuk mengadakan pelbagai majlis seperti kenduri kahwin ‘walimatul urus’, kenduri kahwin ‘kesyukuran’, majlis menyambut menantu, majlis jamuan akikah, majlis jamuan arwah, malah tidak kurang juga ada yang mengadakan majlis pertunangan setaraf majlis perkahwinan. Itulah dunia sekarang.


Menyentuh mengenai majlis kenduri kahwin yang berbagai bentuk sekarang ini, mengikut fahaman saya, biasanya apabila dinamakan majlis kenduri kahwin ‘walimatul urus’, maknanya ini adalah jemputan majlis kenduri yang mengkehendaki hadirinnya menghulurkan wang apabila bersalam ketika hendak pulang dan tuan rumah akan memberikan cenderamata perkahwinan (bunga telur atau tuala kecil atau coklat ataupun lain-lain) sebagai tanda balasan. Mengikut kadar semasa, jumlahnya adalah antara RM 10 hingga RM 40 per kepala. Jika anda hadir tanpa duit dalam tapak tangan semasa hendak balik, tanggung malulah jawabnya. Manakala apabila menerima jemputan yang bertulis kenduri kahwin ‘kesyukuran’, maka itu bermakna majlis tersebut adalah jamuan makan tanpa bayaran untuk hadirinnya, sedekah daripada tuan rumah (kadangkala dibuat sebagai sedekah arwah orang tua), namun kebanyakan hadirin akan membawa hadiah ataupun gula sebagai tanda penghargaan kerana sudi menjemput kepada tuan rumah. Itulah adat yang diamalkan di Kelantan dan yang difahami oleh saya, tempat lain, tak tahu la.


Melihatkan sehari dua ni, banyak betul kelihatan kenduri kahwin diadakan. Namun, jika diperhatikan, rata-rata masyarakat lebih suka membuat kenduri kahwin ‘Walimatul Urus’ untuk majlis perkahwinan anak masing-masing. Memang diakui, ‘Walimatul Urus’ ni banyak mendatangkan untung kepada keluarga tuan rumah, biasanya pulangan mencecah ribuan ribu ringgit pada setiap kenduri, mungkin dirasakan berbaloilah untuk penat lelah yang dipikul sepanjang menguruskan majlis tersebut. Namun masyarakat yang berfikiran sebegitu sebenarnya agak terpesong dari segi syariat Islam dan sunnah Rasululullah SAW. Mana tidaknya, Islam mengkehendaki kita membuat majlis untuk setiap ‘masjid’ yang dibina sebagai simbolik untuk memberitahu mengenai khabar gembira tersebut kepada jiran-jiran, saudara-mara, teman-teman dan sebagainya. Islam juga menggalakkan kita banyak bersedekah.


Namun sebaliknya yang berlaku, majlis perkahwinan yang diadakan dirancang seperti perniagaan, membuat pelaburan, perancangan dan mendapat keuntungan diatas usaha-usaha penat lelah tersebut. Tujuan Islam mensyariatkan kenduri adalah untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan, peluang untuk berjumpa dengan waris atau kawan yang sudah lama tidak bertentang mata, namun apabila dibuat ‘walimatul urus’, berkira-kira jugalah orang untuk menghadirinya, mengira duit minyak untuk jarak yang jauh lagi (minyak mahal pulak tu), ditambah lagi kalau ingin membawa seisi keluarga, pening jugalah kepala dibuatnya. Mungkin lebih selesa membuat keputusan untuk tidak hadir. Masyarakat sudah semakin menjauh dari landasan yang sebenarnya.


Namun, harus difahami, maksud saya disini bukanlah ingin mengharamkan budaya tersebut, tetapi berpada-padalah dalam membuat sesuatu perkara. Jika sebuah keluarga miskin ataupun keluarga berpendapatan sederhana, ditambah lagi mempunyai anak ramai, ataupun anak-anak yatim yang mengadakan kenduri, maka boleh diterimalah jika mereka mengadakan kenduri ‘Walimatul Urus’ ini kerana mereka pun kekurangan, macam mana nak bersedekah banyak-banyak. Malah lebih diperlukan lagi bagi kita untuk membantu terutamanya menghulurkan bantuan dari segi kewangan kepada golongan sebegini, diatas kesusahan dan kesempitan yang dihadapi mereka untuk menjayakan hasrat murni tersebut.


Namun, yang tak boleh diterima ialah apabila orang yang dah berduit, harta bertimbun, punca kewangan stabil, namun kalah dengan nafsu duniawi apabila mengejar untung mudah melaui jalan tersebut yang sepatutnya boleh dijadikan jalan mudah untuk mendapatkan ganjaran tinggi disisi Allah. Biasanya golongan sebegini ialah orang-orang yang digelar orang ‘bandar’. Orang-orang ‘bandar’ ni memang banyak ragamnya, namun susah ditegur…


Saya masih ingat lagi satu ketika dulu, saya melawat rumah sewa kawan-kawan di satu taman perumahan. Memang biasalah adat belajar di IPT, duduk serumah berkongsi ramai-ramai, jadi rumah kawan saya ni 10 orang tinggal dalam rumah tersebut. Saya ingat lagi, semasa saya ke rumah kawan tersebut, jiran rumah kedua sebelah rumahnya mengadakan kenduri. Memang ramai hadirin dan jemputan yang datang ke rumah tersebut, sejak dari pagi lagi, tak putus-putus sampai tengah hari. Namun, yang teruknya, tuan rumah tersebut langsung tak mengajak pun jiran sebelah rumahnya ini, iaitu rumah kawan-kawan saya tersebut. Tinggal di rumah sewa, biasalah selalu kelaparan, masak pun ala kadar, gaya bujang, nasi + telur dah cukup. Namun, berada dirumah pada hari tersebut, memang bergelora jugaklah nafsu lapar ni, dengan bau gulai yang membuka selera, kelihatan lauk bermacam hidangan lagi, namun apakan daya, tidak dijemput. Ada jugak la kawan ni yang buat-buat muka tak malu, duduk tepi pagar, borak-borak, hajatnya kalau tuan rumah nampak, mungkin nak jemput ke, nak hulur saki-baki ke. Tapi memang malang, tuan rumah tersebut langsung tak menghiraukan diaorang, memang buat-buat macam tak nampak je budak-budak ni.


Itulah masyarakat sekarang, orang ‘bandar’ semakin hanyut dalam dunianya, mengejarkan benda yang tidak boleh dibawa mati, namun terlupa mengejar benda untuk dibawa akhirat. Jiran dianggap sebagai orang asing walaupun setiap hari berhadapan dengan muka jiran, berkongsi taman perumahan, namun diri lain-lain. Nak kata sombong, marah, namun itulah hakikatnya..


Teringat suasana di kampung, buat majlis apa pun, walaupun majlis kecil-kecilan, namun satu kampung dijemput, semuanya sama-sama gotong-royong membantu dan hadir memeriahkan majlis. Jika ada jiran tetangga yang tak dapat hadir, dikirimkan pula gulai atau lauk tanda ingatan dan prihatin dengan jiran tetangga. Apa nak jadi dengan dunia kini? Wallahu A’lam.



Anda boleh memikirkan yang terbaik untuk diri anda, sama-samalah kita mengejar ganjaran amal ibadah yang dijanjikan Allah…

31 May 2011

Karnival Halal Kelantan 2011

Dicatat oleh Ibnu Halim

Alhamdulillah, sempat mengunjungi Karnival Halal Kelantan 2011 pada malam terakhirnya, semalam bertempat di Kompleks Balai Islam, Lundang. Program tersebut diadakan selama 3 dan dirasmikan oleh YM Tengku Mahkota Kelantan. Melihatkan publisiti program yang dihebahkan kepada umum semenjak dua bulan dahulu lagi sebelum program dan penganjur program yang melibatkan pelbagai pihak yang ‘besar’, memang kelihatan gah majlis yang akan diadakan.


Best jugak jalan-jalan semalam, tersempak dengan booth perubatan Islam, Kumpulan UNIC membuat prsembahan live di bawah khemah sambil dikerumuni orang ramai.


Difahamkan, pada malam pertama, diadakan Forum Perdana Hal Ehwal Islam Rakaman RTM bertajuk ‘Ilmu Hitam’, malam kedua diadakan persembahan Dikir Barat Halaqat Kelantan dan malam terakhir yang sempat saya kunjungi, persembahan oleh artis kelainan upaya (buta), Albaladi. Namun dikhabarkan sambutan pada setiap persembahan amat dingin. Pada malam pertama, walaupun slot itu adalah Rakaman RTM dan melibatkan ahli panel yang mantap, namun tidak ramai masyarakat yang hadir. Mungkin strategi pemasaran masih kurang menjadi.


Kerusi yang disediakan dalam dewan pun memang sudah sedikit diletakkan di sebelah hadapan kerana bahagian belakang dipenuhi gerai-gerai dan booth agensi kerajaan dan syarikat swasta. Walaupun sedikit sahaja kerusi yang disediakan, namun tidak penuh juga kerusi yang disediakan, menunjukkan tidak ramai hadirin yang datang. Kat luar memang ramai orang, tapi kat dalam menunjukkan program semacam kurang sambutan.


Tapak pameran dan jualan disediakan pada 2 tempat, satu kat bahagian luar (terbuka) & satu lagi kat bahagian dalam (dewan aircond). Dari segi bilangan kuantiti, didapati bahagian luar lebih banyak dengan khemah bersaiz besar yang digunakan, malah lebih meriah juga bahagian luar. Di bahagian dalam, walaupun kuantitinya juga agak banyak, namun disebabkan saiz ‘partition’ setiap booth yag kelihatan agak kecil membuatkan kelihatan sedikit gerai yang dibuka disebelah dalam. Tidak dinafikan, memang ramai hadirin dari pelbagai lapisan masyarakat terutamanya keluarga seisi keluarga yang berkopiah, bertudung labuh, yang memang sinonim di Kelantan. Promosi program memang menjadi dan mengenai sasaran appabila ramai orang yang hadir ke karnival, namun kurang sambutan terhadap event-event khas yang sepatutnya boleh dihadiri oleh ramai orang menunjukkan promosi masih kurang menjadi terhadap sesetengah bahagian.


Didapati, kebanyakan pihak yang mengambil bahagian dalam ruang niaga adalah terdiri daripada syarikat-syarikat swasta yang sudah memang gah berdiri dengan jenama masing-masing, yang sudah memang terkenal dengan produk masing-masing. Sepatutnya dalam karnival sebegini, boleh ditonjolkan bersama produk-produk keluaran syarikat IKS yang masih baru dalam dunia perniagaan, terutamanya usahawan industri makanan yang sememangnya boleh dijamin status ‘Halal’nya. Mungkin disebabkan kos sewa yang tinggi menyebabkan golongan usahawan IKS bumiputra tidak mampu untuk mengambil tapak perniagaan.

Disebabkan itulah, pihak penganjur sepatutnya menyediakan pakej khas dan tapak khas untuk usahawan IKS supaya berpeluang memasarkan produk masing-masing dalam event-event sebegni. Boleh diambil contoh, semasa Expo Cheng Ho Kelantan – China International Trade Fair, walaupun kebanyakan yang mengambil bahagian dalam Pavilion Besar adalah syarikat-syarikat besar Malaysia & China, namun terdapat satu lokasi dibawah jenama Usahawan Mara dimana semuanya adalah usahawan-usahawan IKS dan industri desa yang mengambil bahagian. Mereka diberi pakej khas yang tentunya lebih murah dan mampu untuk mereka melabur bagi mendapatkan keuntungan perniagaan masing-masing.


Melihatkan nama program ialah ‘Karnival Halal’, tentulah hadirin yang menghadiri sedikit sebanyak inginkan pendedahan mengenai isu semasa ‘halal’ di Malaysia, barangan apa di pasaran yang tidak halal dan sebagainya. Namun amat mengecewakan, yang didedahkan hanyalah maklumat secara umum yang sememangnya sudah semua orang ketahui seperti tanda halal Jakim, produk yang tidak tertulis ‘Halal’, prosedur memohon sijil ‘Halal’ dan yang berkaitan dengannya. Agensi kerajaan yang terlibat dilihat tidak berani apabila hanya menonjolkan maklumat-maklumat umum.

Sepatutya ditonjolkan pada program sebegini ialah maklumat yang umum belum mengetahui, seperti lambakan produk yang dikatakan halal tetapi sebenarnya tidak halal, produk yang dicampuri bahan yang tidak halal seperti gelatin babi, lemak haiwan, alkohol dan pelbagai bahan meragukan yang juga banyak terdapat di pasaran. Juga termasuk disini ialah isu hangat sekarang ini iaitu ‘bir halal’ yang engandungi kandungan alkohol berlebihan sehingga 5%.


Agensi kerajaan dilihat tidak berani dan kurang lantang berdepan isu dan maslah sebegini, walhal ianya melibatkan umat Islam sejagat. Namun sebaliknya NGO-NGO yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pula lebih lantang bersuara dan lebih arif dalam isu sebegini. Sepatutya inilah yang ditonjolkan dan didedahkan melaui pameran, seminar dan risalah yang diedarkan sepanjang program ini agar maklumat dapat disapaikan kepada semua lapisan masyarakat..


Tidak dinafikan, agensi kerajaan terbabit perlu berhati-hati diatas tindakan dan pendirian mereka agar tiada pihak yang tersinggung ataupun melenting, namun itulah yang terpaksa mereka hadapi demi menegakkan syiar Islam di Daulah Malaysia ini. ‘Jangan memandu kereta kalau takutkan kemalangan’.


Apa pun, tahniah diatas kejayaan penganjuran program yang berjaya diadakan. Semoga pihak yang terbabit dan yang mempunyai ‘kuasa’ lebih proaktif dan kreatif dengan mengadakan program-program sebegini yang dapat meningkatkan lagi syiar Islam dalam sesebuah komuniti.


Majulah Negara untuk Islam.